بسم الله الرحمن الرحيم
أسلام عليكم
hati yg jernih.... |
Andai itu takdirnya terimalah
seadanya. Sudah tentu terselit hikmah disebalik musibah. Cuba kita perhatikan
bunga mawar yang mekar kemerahan, sungguh cantik. Namun awas durinya mampu
melukakan kita. Begitulah setiap yang indah bukannya mampu diraih dengan mudah
namun perlu meredah berbagai mehnah, gunung perlu didaki lurah perlu dituruni.
Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.
Kadangkala kita sering lupa
bahawa kita hanyalah hamba di bumi tuhan.Tidak layak kita membantah takdirnya.
Namun kekadang tersungkur jua. Hati dalaman membentak ganas. "Mengapa
tuhan?"Jika begitu cepat-cepatlah kembali kepada fitrah. Kita
hanyalah seorang hamba tumpangan yang singgah sebentar menyemai amal untuk hari
yang dijanjikan tuhan.
Siapa berusaha dia berjaya. Man
jadda wajada waman zara'a hasoda. Hasilnya berlandaskan keikhlasan
dan teguhnya iman. Siapa banyak amalnya, sekelip mata lepas titian sirat, siapa
kurang amal timbangannya, mungkin terjatuh di tengah perjalanan. AWAS!
Andai itu takdirnya, katakanlah
Ya Allah aku redha dengan pemberianmu. Biar setinggi mana halangan akan ku
sahut, biar sejauh mana haluan, akan ku tempuh. Biar bermandi darah sekalipun
akan ku berjuang hingga ke titik yang terakhir. Tidak sekali ku mengalah
walaupun sesekali lelah. Indahnya jika begini wahai sahabat. Namun bukanlah
semudah lafaz bicara. Hanya orang-orang yang benar-benar beriman dan bertaqwa
yang mampu lakukannya. Jadilah diri kita menuju kearah itu. Insya-Allah.
Lipatan sejarah terpapar.
Kesusahan mengajar erti kematangan. Kegetiran mendidik erti kecekalan.
Junjungan Besar kita dari kecil di duga, kehilangan bapa ketika masih belum
sempat melihat dunia, kemudian ibunya menyusul pergi ketika baginda masih
memerlukan seorang ibu. Jadilah baginda yatim. Tanpa berkeluh baginda tempuh.
Ketika masih dahaga curahan kasih dari datuknya, Allah terlebih dahulu
memanggil.
Tinggallah pula baginda bersama
bapa saudaranya. Di situ terpapar jiwa besar baginda. Biarpun masih kecil
baginda sudah bekerja. Mengembala kambing benar-benar mendidik baginda supaya
sabar dan cekal. Ini hasilnya. Baginda mampu menyebarkan Islam di bumi tuhan
walau berbagai rintangan dan cabaran. Di situlah hikmah sabar. Di situlah
terselit kemanisan berjuang. Misi diimpi menjadi realiti.
Lihat pula Bilal bin Rabbah si
hamba habsyi. Di hatinya hanya ada tuhan. Tidak sanggup menyerah demi akidah.
Ahad! Ahad! Ahad!. Kemudian, Si Hamzah singa Allah. Tidak sesekali hatinya
gerun. Demi Allah dan Rasulullah dia sanggup berjuang.
Biar hati dilapah namun Syurga
yang diterjah. Sungguh Indah! Ramai lagi yang berjiwa besar. Namun mereka tetap
sabar. Kerana mereka ada buah iman, mereka punya akar takwa. Sesukar mana
dugaan bukan halangan. Cuma semangat yang perlu dikocakkan. Iltizam yang perlu
dinyalakan. Mereka sudah membuktikan, kita bila lagi!
Andai kita diuji dengan kematian
orang yang kita sayangi, jangan terlalu bersedih doakanlah untuknya. Sampai
masa kita pula menyusul.
Andai kita diuji dengan sebuah
perpisahan, yakinlah jika kita tidak berjumpa di dunia. Insya-Allah di syurga
yang kekal abadi.
Andai kita diuji dengan
kemiskinan bersyukurlah kita masih lagi mampu bernafas di bumi tuhan. Jadi
banyakkanlah amal supaya kita kaya di sana.
Andai kita diuji dengan
kesenangan. Ucaplah Alhamdulillah akan aku agihkan rezeki tuhan kepada yang
memerlukan.
Andai kita diuji dengan kesusahan
janganlah goyah. Sahutlah cabaran dengan hati yang gagah kerna itu yang
mendewasakan kita dalam musafir panjang.
Wahai sahabat andai itu
takdirnya. Terimalah seadanya. Janganlah berkeluh lalu lumpuh. Ayuh kita
semarakkan perjuangan di bumi tuhan agar kita mendapat manfaatnya di hari
kemudian. Setiap musibah ada hikmah. Ubat itu pahit namun menyembuhkan. Jika
ingin ke puncak mesti mendaki. Bukannya hanya merenung tanpa bertindak. Yakin
akan janjinya. Tuhan tidak pernah berdusta.